June 19, 2013

Oleh: Wartawan Sinar Harian Tarikh: June 1, 2013 JENJARUM - Pihak bomba diminta melakukan pemeriksaan terhadap pili bomba pada masa sama menambah kemudahan peralatan berkenaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini segera. Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, gesaan itu adalah bertujuan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa diberikan keutamaan andainya berlaku kebakaran di kawasan mereka. Menurutnya, ketiadaan pili bomba di kawasan penempatan atau kehilangan penutup pili bomba kini menjadi punca masalah kebakaran sukar ditangani. “Bukan sahaja menyebabkan kerajaan kerugian wang yang banyak tetapi paling serius ialah jika ia gagal berfungsi semasa kecemasan. “Penutup besi ini bertujuan melindungi pili bomba daripada sesuatu yang boleh merosakkannya kerana kalau tidak segala bahan akan masuk ke dalamnya menyebabkannya gagal berfungsi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Chee Heng berkata, beliau kesal apabila ada kawasan masih tidak mempunyai pili bomba sehingga menyusahkan pelbagai pihak. Katanya, keadaan akan menjadi lebih serius seandainya pili bomba yang terdapat di sesebuah penempatan penduduk itu tidak boleh beroperasi. Menurutnya, masalah pili bomba anatara masalah diadukan penduduk kepadanya setiap kali beliau turun pada bertemu penduduk. Katanya, kebanyakan penduduk meminta tambahan pili bomba di setiap kawasan penempatan selain memeriksa semula kemudahan tersebut supaya dapat digunakan. Sementara itu, penduduk, N Letchumanan, 50, berkata, dia mahu pemeriksaan semula pili bomba dilakukan segera. Katanya, jika tidak pelbagai masalah boleh berlaku akibat tiada kemudahan yang bersistematik. "Paling tidakpun, sebuah balai bomba baru dibina bagi memudahkan urusan perkhidmatan memadam api dijalankan,” katanya.Yang Berhormat Tuan Loh Chee Heng, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Telok Datok N52, Selangor.