December 30, 2013

Sinar Harian 29 Desember 2014 Kaji semula pemberian baucar WARTAWAN SINAR HARIAN TELOK DATOK - Bantuan kerajaan negeri berbentuk baucar bernilai RM30 kepada setiap murid disifatkan tidak praktikal berdasarkan keadaan ekonomi semasa khasnya golongan berpendapatan rendah. Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, masih terdapat dalam kalangan segelintir anggota masyarakat di kawasan Kampung Sungai Sedu tidak mampu menyediakan sarapan untuk keluarga. Menurutnya, apatah lagi untuk membelikan baju dan peralatan sekolah anak sekali gus beliau menyifatkan saluran bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri perlu lebih praktikal. “Saya bukan ingin membantah segala peruntukkan yang diberikan tetapi apabila melihat sendiri kesengsaraan ibu bapa yang terpaksa mencari pendapatan untuk seisi keluarga dengan jumlah anak yang ramai keadaan ini perlu diambil perhatian. “Lebih menyedihkan apabila musim persekolahan bermula, pelbagai persiapan perlu disediakan ibu bapa sehingga anak terpaksa mengugut ibu bapa sekiranya tidak dapat menyediakan kelengkapan diminta,” katanya kepada Sinar Harian ketika melawat Sekolah Rendah Tamil Sungai Sedu. Chee Heng berkata, sehingga kini 600 keping baucar diperuntukkan untuk murid sekolah di kawasan Sungai Manggis, Sungai Sedu dan sebahagian Taman Delima, namun apabila memikirkan kawasan yang dijaga sehingga Bandar Saujana Putra yang mencecah hampir 20,000 penduduk, beliau menyarankan supaya pemberian baucar berkenaan perlu dikaji semula. Katanya, bayangkan jika ibu bapa yang layak datang berjumpa dengan pihaknya memohon baucar tersebut, sudah tentu beliau tidak boleh menolak walaupun tidak mencukupi. “Hakikatnya, saya terpaksa menggunakan elaun saya sendiri untuk menambah jumlah peruntukkan sehingga kadang kala berasa sampai bila keadaan ini terus berlaku jika tiada pihak memandang serius. “Memang tugas wakil rakyat membantu kebajikan rakyat, namun tidak adil sekiranya bantuan disalurkan tidak memenuhi jumlah murid memerlukan,” katanya. Chee Heng berharap kerajaan negeri harus memberikan bantuan sekolah secara konsisten pada setiap tahun khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah (paras pendapatan di bawah RM1,000 setiap bulan) seperti keluarga yang bekerja di ladang, kebun mahupun pekerja kilang yang lebih memerlukan bantuan tersebut. Katanya, beliau bimbang sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian serius akan menyebabkan generasi muda ini keciciran seterusnya tidak mementingkan soal pendidikan sekali gus melahirkan generasi kurang berpengetahuan.