July 27, 2013

Pemandu masih pecut kenderaan NURUL FIRDAUS 17 Julai 2013 JENJARUM - Pembinaan bonggol di hadapan Klinik Kesihatan Jenjarum dilihat masih tidak dapat membendung masalah pemandu yang memecut laju kenderaan masing-masing berikutan keadaan ketebalan bonggol tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. Seorang penduduk, P Suriamoorthy berkata, sebelum ini, kemalangan sering berlaku di kawasan terbabit, malah ia turut menjadi litar perlumbaan haram bagi penunggang motosikal pada waktu malam. Menurutnya, selepas kejadian maut membabitkan seorang wanita yang ketika itu hendak membuat pemeriksaan di klinik terbabit, penduduk sekali lagi membuat permohonan pembinaan bonggol jalan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan di situ. “Kita lega apabila pihak berkaitan bina bonggol di hadapan klinik ini namun pembinaannya masih tidak dapat memperlahankan kenderaan kerana keadaan bonggol yang dibina agak landai. “Sebab itu tiada perubahan pada had laju kenderaan apabila kebanyakan pemandu masih memecut laju kenderaan masing-masing,” katanya. Justeru itu katanya, orang ramai menggesa pihak berkaitan mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah ini demi keselamatan penduduk yang terdedah kepada risiko kemalangan memandangkan tiada ciri keselamatan di laluan terbabit. Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melakarkan garisan 'speed track' dan pembinaan bonggol di hadapan klinik berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kes kemalangan maut terbabit. Menurutnya, JKR Negeri Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf jalan di Daerah Kuala Langat termasuk sebahagian jalan awam di Kampung Jenjarum yang turut diselenggarakan. “Kita sedia maklum dengan aduan penduduk mengenai pembinaan bonggol yang tidak mengikut spesifikasi, jadi kita akan gesa pihak berkaitan menaik taraf laluan terbabit dalam masa terdekat. “Bagaimanapun, pemandu itu sendiri perlulah berhati-hati dan pandu ikut had laju yang ditetapkan apabila melalui kawasan itu,” katanya. Wakil JKR Kuala Langat, M Arivalagan yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai masalah itu. Namun katanya, aduan akan dipanjangkan kepada pihak berwajib dan meneliti cadangan penduduk untuk meningkatkan tahap keselamatan.