July 27, 2013

Kuarters terbiar perlu diroboh NURUL FIRDAUS KHAIRI 15 Julai 2013 SUNGAI MANGGIS - Keadaan kuarters kerajaan di beberapa kawasan sekitar Dun Telok Datok, di sini, yang terbiar sejak lebih tujuh tahun lalu menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai. Tinjauan Sinar Harian mendapati lebih lima kuarters di Sungai Manggis, tiga di Telok Datok dan beberapa kuarters di Jenjarum usang dan terbiar. Pesara, Mohd Azman, 63, yang pernah tinggal di kuarters itu sekitar 1980 kesal kerana bangunan itu tidak dirobohkan menyebabkan kawasan terbabit seperti belukar. Katanya, kuarters itu memang tidak lagi sesuai didiami kerana hanya mempunyai satu atau dua bilik tidur. “Jabatan terlibat perlu melakukan sesuatu seperti merobohkan kuarters dan dimajukan dengan projek pembangunan bermanfaat. “Jika tidak kawasan tersebut bakal menjadi ‘port’ gejala sosial," katanya. Sementara itu, Faizal Osman, 31, berkata, dia hairan kerana kawasan kuarters terbiar sedangkan lokasinya strategik. "Bangunan terbiar itu sepatutnya sudah lama diroboh dan dimajukan," katanya. Sementara itu, Adun Telok Datok Loh Chee Heng berkata, banyak kuarters milik pelbagai jabatan terbiar di Dun Telok Datok. "Semua jabatan yang terlibat akan diarahkan mengambil tindakan segera terhadap isu kuarters terbiar itu. “Difahamkan, sejak ditinggalkan, kuarters tersebut menjadi tumpuan pencuri sehingga banyak barang seperti siling, lampu, pintu, cermin dan lain-lain hilang, namun pemimpin setempat masih tidak menerima sebarang aduan melainkan melalui media cetak,” katanya yang bakal meninjau lokasi kuarters terbabit minggu hadapan. Chee Heng berkata, bukan itu sahaja, malah kawasan tersebut ditumbuhi semak-samun dan persekitarannya gelap pada waktu malam akibat bekalan elektrik dihentikan dikhuatiri menyebabkan ia menjadi sarang penagih dadah dan maksiat. "Jadi, penduduk disarankan membuat pemantauan terhadap mana-mana individu mencurigakan yang memasuki kawasan berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa. "Pada masa sama, kita harap pihak bertanggungjawab dapat mencari langkah terbaik bagi membaiki dan memulihkan segala kerosakan yang berlaku di kuarters lama tersebut dengan segera selain membersihkan kawasan yang menjadi tumpuan lokasi sampah haram,” katanya.