December 30, 2013
Sinar Harian 30 Desember 2013
PEMBERIAN baucar RM30 oleh kerajaan negeri sebagai salah satu cabang bantuan bagi melengkapkan persiapan persekolahan yang akan bermula minggu ini, tiba-tiba menjadi sebutan. Tidak hanya cakap-cakap itu berlegar dalam kalangan penerima tetapi ada kalangan wakil rakyat yang turut mempertikai nilai pemberian tersebut.
Semalam, Adun Telok Datok, Loh Chee Heng menyifatkan nilai baucar berkenaan tidak praktikal berdasarkan ekonomi semasa. Beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula nilai yang diberikan dan memberi bantuan persekolahan secara konsisten.
Sementara Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Melawati pula mengambil pendekatan menyerahkan bantuan beg sekolah sebagai menggantikan baucar RM30 yang ditawarkan kerajaan negeri.
Penyelarasnya, S Manikavasagam menyifatkan pemberian beg lebih efektif berbanding baucar untuk mengelakkan penerima bersusah payah mengeluarkan kos ke bandar untuk mendapatkan barangan anak-anak sebagai tukaran kepada baucar berkenaan.
Berlainan pula kenyataan Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau. Beliau memaklumkan insentif RM30 itu khusus untuk bantuan kasut sekolah dan pemberian dimulakan sejak 15 Disember lalu.
Persoalannya, tidak adakah sebarang penjelasan dibuat sebelum baucar berkenaan diserahkan sehingga timbulnya pelbagai persepsi? Secara logiknya, adakah tindakan pemberian baucar RM30 itu memadai?
Wartawan dan skuad Sinar Harian mendapatkan komen pelbagai pihak bagi memahami kisah di sebalik isu ini.