April 21, 2009
Memo kepada Pengerusi SPR Malaysia
Tarikh: 20hb April, 2009
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62690 PUTRAJAYA
Y.Bhg. Tan Sri,
CADANGAN-CADANGAN DAPSY UNTUK MENAMBAHBAIK SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.
2. Pihak Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) ingin membuat beberapa cadangan konstruktif kepada pihak SPR untuk menambahbaik sistem pilihanraya di negara kita.
a) Pendaftaran pemilih secara automatik
Untuk matlamat jangka masa panjang, pihak SPR seharusnya mensasar dan mencadangkan kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang mensyaratkan setiap warganegara Malaysia yang mencapai umur yang ditetapkan terus menjadi pengundi yang berdaftar secara automatik. Ini boleh meringankan beban pihak SPR dan mengatasi masalah berjuta-juta pemilih yang layak tidak mendaftarkan diri.
b) Merendahkan umur kelayakan pengundi ke 18 tahun
Takrifan umur dewasa di Malaysia dari segi undang-undang ialah 18 tahun. Adalah tidak adil kepada mereka yang telah mencapai umur dewasa tetapi dinafikan hak untuk mengundi. Kami mencadangkan kepada pihak SPR supaya merendahkan umur kelayakan sebagai pengundi ke 18 tahun.
c) Menghapuskan sistem undi pos sedia ada
Isu undi pos merupakan satu isu yang sering mencemarkan imej dan kredibiliti pihak SPR kerana kekurangan ketelusan dalam proses pengundian undi pos. Kita mencadangkan pihak SPR menghapuskan sistem undi pos yang sedia ada dan hanya membenarkan undi pos kepada tentera yang bertugas dalam kawasan hutan atau tidak bertempat di pengkalan tentera.
Untuk anggota polis dan tentera yang berpengkalan di balai polis atau kem tetap, mereka sepatutnya membuang undi seperti pengundi biasa di kem masing-masing sehari lebih awal. Namun, keseluruhan proses tersebut perlu dilakukan dalam bilik pengundian tersebut seperti pengundi biasa dan dipantau oleh ejen parti masing-masing. Proses pengiraan undi juga perlu dilakukan di tempat sama selepas pengundian selesai dengan kehadiran ejen parti.
d) Masa kempen sekurang-kurangnya 14 hari
Pihak SPR perlu memastikan proses kempen pilihanraya dijalankan secara adil dan memberi masa dan ruang yang cukup untuk semua parti yang bertanding. Kempen pilihnaraya perlu dijalankan sekurang-kurangnya 14 hari. Dalam proses kempen, usaha perlu dilakukan supaya calon yang bertanding mempunyai peluang berkempen dan berjumpa dengan pengundi di kem-kem tentera dan balai-balai polis.
e) Penolong pendaftar parti politik
Untuk pendekatan jangka masa pendek, pihak kami mengalu-alukan langkah pihak SPR membenarkan ahli-ahli parti politik dilantik menjadi penolong pendaftar. Kami mengharapkan usaha ini diteruskan dan pihak Ibupejabat SPR perlu mengarahkan semua SPR Negeri memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada penolong-penolong pendaftar dari parti politik. Saya harap pihak SPR akan mempercepatkan proses pendaftaran penolong-penolong pendaftar yang baru di semua negeri.
3. Kami berharap cadangan-cadangan di atas akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari pihak SPR dan adalah matlamat kita untuk membantu SPR mendaftarkan pemilih-pemilih yang layak sebanyak yang mungkin.
Sekian, terima kasih.
DAPSY Malaysia