January 19, 2009

PAS Harus Fikir Semula


Jangan lukakan hati lawan - Nik Aziz

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 18 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin parti dalam pakatan pembangkang tidak mengeluarkan kenyataan yang angkuh berikutan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, ini kerana tindakan mengeluarkan kenyataan negatif terhadap parti lawan bukan sahaja membawa gambaran yang tidak baik kepada parti malah menjejaskan persepsi masyarakat terhadap Pas.

"Jangan buat kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan kerana tujuan kita buat kerja memperjuangkan parti adalah kerana dakwah.

"Kalau dia (pihak lawan) terluka, kita nak paut (pikat semula) dia tidak boleh. Jadi kita kena ingat, kerja kita adalah untuk akhirat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam. Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kemenangan tersebut membuktikan dasar parti itu yang mahu merapatkan golongan Cina di negara ini dengan gerakan Islam semakin berjaya.

Katanya, ia sekali gus menyangkal dakwaan bahawa golongan Cina terutama daripada DAP sebagai ekstrem tetapi sebaliknya bersedia menerima pendekatan Islam yang diperjuangkan Pas.

"Saya juga menganggap kemenangan ini adalah kejayaan merapatkan kaum Cina terutama sekali daripada DAP dengan Islam," katanya.

pada pandangan saya, calon Pakatan Rakyat (PAS) dapat memenangi dengan undi majority lebih besar lagi jika bukan kata-kata salah seorang pemimpin PAS akan mengamalkan Hukum Hudud jika memenangi pemerintahan Kerajaan Pusat kelak.

Pihak pemerintah PAS pusat haruslah berfikir panjang, wajar dan rasional dengan tindakan dan hasrat masyarakat Cina tidak mengundi Pakatan Rakyat, khususnya PAS atau memilih berdiam diri tidak keluar mengundi.


Kata papatah Kaum Cina "三思而后行". (Berfikirlah terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan yang mengecewakan).

Loh Chee Heng
Setiausaha Kebangsaan, Pemuda Sosialist DAP